Sunday, April 25, 2010

Bumbung

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani...

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seorang Nabi pernah berperang dan dia berkata kepada kaumnya:
       Tidak dibenarkan mengikutiku seorang lelaki mempunyai isteri yang hendak disetubuhinya,
       juga seorang lelaki yang sudah mendirikan sebuah bangunan namun dia belum menaikkan bumbungnya.
       Demikian pula dengan seorang lelaki yang telah membeli seekor kambing atau seekor unta hamil, sehingga dia menunggu kelahiran anak ternakannya tersebut.

Maka beliau pergi berperang. Apabila tiba di sebuah kampung pada waktu Asar, beliau berkata kepada matahari: Wahai matahari! Kamu diperintahkan dan aku pun juga diperintahkan. Lalu beliau berdoa: Ya Allah! Tahanlah matahari itu sebentar untukku. Maka matahari pun berhenti kerana diperintahkan oleh Allah. Lalu beliau berkata: Himpunlah oleh kamu segala harta rampasan. Setelah mengumpulkan harta hasil rampasan perang tersebut, tiba-tiba ada percikan api dari atas langit yang kelihatannya akan membakar harta tersebut, namun mendadak api itu berhenti dan tidak mahu membakarnya.

Lalu Nabi a.s berkata: Di antara kamu ada yang telah menyorokkan harta rampasan perang ini. Maka hendaklah setiap orang dari semua kabilah segera berbaiah kepadaku. Maka mereka pun beramai-ramai datang membaiah kepada Rasul dengan menjabat tangan beliau. Kemudian beliau kembali bersabda: Di antara kamu pasti ada yang telah menyoroknya. Hendaklah setiap kabilah dari kamu berbaiah kepadaku. Mereka pun berebut-rebut datang berbaiah kepada Nabi a.s, sehingga dua atau tiga orang menjabat tangan beliau secara sekaligus. Beliau berkata lagi: Di antara kamu pasti ada yang menyoroknya, kamu telah berkhianat. Kemudian mereka memberikan kepada beliau seketul emas sebesar kepala lembu lalu diletakkannya pada timbunan harta rampasan tersebut yang sudah berada di atas tanah. Tidak lama kemudian datanglah percikan api itu lalu memakannya.

Baginda bersabda: Harta rampasan perang itu sama sekali tidak dihalalkan kepada seorang pun sebelum kita. Hal itu disebabkan kerana Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Luhur mengetahui kelemahan serta kekurangan kita. Maka Allahlah yang akan mengelokkan diri kita.

Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 3287

No comments:

Post a Comment