Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani…
143- Dari `Amr bin Maimun al-Audi r.a., katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda kepada seorang, menasihatkannya: "Rebutlah peluang lima keadaan sebelum datangnya lima yang lain, - keadaan mudamu sebelum datangnya keadaan tuamu dan keadaan sihatmu sebelum datangnya keadaan sakitmu dan keadaanmu berada sebelum datangnya keadaanmu berhajat dan keadaan lapangmu sebelum datangnya keadaan sibukmu dan keadaanmu masih hidup sebelum datangnya matimu." (Tirmizi)
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w menggalakkan umatnya supaya tiap-tiap seorang merebut peluang yang masih terbuka untuk mengerjakan amal-amal kebajikan, kerana amal-amal yang baik sahajalah yang menyebabkan seseorang diredhai Allah dan berjaya di dunia dan di akhirat.
Dalam hadis ini, junjungan kita s.a.w. menerangkan: Bahawa peluang-peluang yang baik terdapat dalam lima keadaan dan akan lenyap apabila berlaku keadaan-keadaan yang sebaliknya.
Pertama -Semasa seseorang itu muda dan kuat, dan akan lenyap semasa ia tua dan lemah.
Kedua -Semasa ia sihat dan segar dan akan lenyap apabila ia ditimpa penyakit.
Ketiga – Semasa ia senang mewah dan akan lenyap apabila ia miskin dan memerlukan bantuan.
Keempat – Semasa ia lapang dan akan lenyap apabila ia sibuk dengan sesuatu yang tak dapat dielak.
Kelima – Semasa ia masih hidup, dan akan lenyap apabila ia meninggal dunia dan terhenti segala amal usahanya.
No comments:
Post a Comment