Tuesday, May 4, 2010

Adakah dia telah diutuskan?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani...

Hadis Anas bin Malik r.a katanya:


Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi.
 
Baginda bersabda lagi:
 
Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis.
 
Baginda bersabda lagi:
 
Aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi.
 
Baginda bersabda lagi:
 
Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu.
 
Lalu Jibril a.s berkata:
 
Engkau telah memilih fitrah.

Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya:
 
Siapakah engkau?
 
Dijawabnya: Jibril.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Siapakah bersamamu?
 
Jibril a.s menjawab: Muhammad.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Adakah dia telah diutuskan?
 
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan.
 
Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan.
 
Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi:
 
Siapakah engkau?
 
Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi:
 
Siapakah bersamamu?
 
Jibril a.s menjawab: Muhammad.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Adakah dia telah diutuskan?
 
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan.
 
Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
 
Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi:
 
Siapakah engkau?
 
Dijawabnya: Jibril.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Siapakah bersamamu?
 
Jibril a.s menjawab: Muhammad.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Adakah dia telah diutuskan?
 
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan.
 
Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
 
Aku dibawa lagi naik ke langit keempat.
 
Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi:
 
Siapakah engkau?
 
Dijawabnya: Jibril.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Siapakah bersamamu?
 
Jibril a.s menjawab: Muhammad.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Adakah dia telah diutuskan?
 
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan.
 
Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
 
Firman Allah s.w.t وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya.
 
Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi:
 
Siapakah engkau?
 
Dijawabnya: Jibril.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Siapakah bersamamu?
 
Jibril a.s menjawab: Muhammad.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Adakah dia telah diutuskan?
 
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan.
 
Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
 
Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi:
 
Siapakah engkau?
 
Dijawabnya: Jibril.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Siapakah bersamamu?
 
Jibril a.s menjawab: Muhammad.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Adakah dia telah diutuskan?
 
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan.
 
Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
 
Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi:
 
Siapakah engkau?
 
Dijawabnya: Jibril.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Siapakah bersamamu?
 
Jibril a.s menjawab: Muhammad.
 
Jibril a.s ditanya lagi:
 
Adakah dia telah diutuskan?
 
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan.
 
Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya.
 
Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan.
 
Baginda bersabda: Ketika baginda merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t, baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya.
 
Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan sembahyang lima puluh waktu sehari semalam.
 
Tatakala baginda turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya:
 
Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu?
 
Baginda bersabda:
 
Sembahyang lima puluh waktu.
 
Nabi Musa a.s berkata:
 
Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israel dan memberitahu mereka.
 
Baginda bersabda:
 
Baginda kemudiannya kembali kepada Tuhan dan berkata:
 
Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku.
 
Lalu Allah s.w.t mengurangkan lima waktu sembahyang dari baginda.
 
Baginda kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata:
 
Allah telah mengurangkan lima waktu sembahyang dariku.
 
Nabi Musa a.s berkata:
 
Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi.
 
Baginda bersabda:
 
Baginda tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s,
 
sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud:
 
Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap sembahyang fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu sembahyang fardu sama dengan lima puluh sembahyang fardu. Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya.
 
Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya.
 
Baginda turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata:
 
Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan.
 
Baginda menyahut:
 
Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya
 
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 234

No comments:

Post a Comment