Monday, February 14, 2011

Tafsir Ayat 90 Surah Ali Imran

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Bahawasanya segala orang kafir dengan Isa kemudian daripada beriman mereka itu dengan Musa kemudian bertambah mereka itu kufur dengan Muhammad, maka tidak diterima taubat mereka itu apabila nyawa di gargarah, dan bermula mereka itu, mereka itulah orang yang sesat sekaliannya.

Ayat 90 Surah Ali Imran menyatakan orang Yahudi yang mulanya beriman kepada Nabi Musa as dan kitab Taurat menjadi kafir kerana mengengkari kenabian Nabi Isa as dan kitab Injil.

Kemudian bertambah kekafiran orang Yahudi apabila menolak kerasulan Nabi Muhammad saw dan kitab Al Quran.

Taubat mereka in tidak diterima sekiranya dilakukan ketika nyawa berada di gargarah. Gargarah bererti halkum. Pintu taubat akan tertutup apabila nyawa manusia berada di gargarah iaitu berada dalam keadaan tenat atau nazak disaat menjelangnya kematian.

Maka inilah permulaan orang-orang Yahudi menjadi orang-orang yang sesat kerana keengganan mereka menuruti jalan Allah.

Padahal berita mengenai kedatangan Nabi Isa as, kitab Injil, Nabi Muhammad saw dan kitab Al – Quran telah diceritakan di dalam kitab Taurat. Penolakkan kepercayaan orang Yahudi kepada Nabi Isa as, kitab Injil, Nabi Muhammad saw dan kitab Al – Quran secara langsung membawa erti penolakkan mereka kepada isi kandungan Kitab Taurat yang mereka imani sebelum itu. Disebabkan hal berkenaan mereka menjadi kafir sesudah dahulunya mereka beriman.

Sepatutnya orang Yahudi yang menjadi pengikut Nabi Musa as dan kitab Taurat, apabila datangnya Nabi Isa as dan kitab Injil hendaklah beriman kepada keduanya. Walaubagaimanapun mereka berdegil ingin berpegang kepada kitab Taurat walaupun kedatangan kitab Injil telah memansuhkan kitab Taurat. Selepas kedatangan Nabi Muhammad saw dan kitab Al –Quran Nur Karim, maka kitab Injil pula dimansuhkan.

Peristiwa ini menjelaskan penolakkan orang-orang Yahudi daripada beriman kepada Nabi Isa as, Nabi Muhammad saw, kitab Injil dan kitab Al Quran Nur Karim.

No comments:

Post a Comment